Sunday, October 4, 2009

GEGARAN TAK SEKUAT DIJANGKA

Penduduk mandi dan mencuci pakaian di sungai di Padang selepas dilanda gempa bumi Rabu lalu.


Tekanan terkumpul boleh cetus gempa 30 kali lebih kuat


JAKARTA: Gempa bumi berukuran 7.6 Richter yang melanda Padang Rabu lalu, walaupun menyebabkan ramai terkorban dan memusnahkan banyak bangunan, tidaklah sekuat yang dijangka boleh berlaku oleh pakar.


Menurut pakar geologi, Danny Hilman Natawidjaja dan Institut Sains Indonesia, tekanan memang terkumpul sejak beberapa siri gegaran dalam beberapa tahun lalu, di garisan kepingan bumi di bawah bandar yang mempunyai 900,000 penduduk itu.


"Mengikut kajian kami tekanan seperti yang terkumpul boleh menyebabkan gempa bumi lebih besar iaitu sehingga lebih 8 Richter dan boleh mencetuskan tsunami," katanya yang sudah mengkaji kawasan itu sejak 12 tahun lalu.


Natawidjaja dan rakan penyelidiknya Profesor Kerry Sieh dari Universiti Teknologi Nanyang Singapura, percaya tekanan yang terkumpul boleh mencetuskan gempa bumi sekuat 8.8 Richter iaitu 30 kali lebih kuat daripada gempa bumi Rabu lalu.


"Dari perspektif sains, ia boleh berlaku esok, bulan depan atau tahun depan. Tetapi saya akan terperanjat jika ia tidak berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya.


"Secara peribadi saya amat bimbang," katanya. Pada 2004, gempa bumi berukuran 9.15 Richter dengan pusat gegaran 600 km di utara Padang, mencetuskan tsunami yang menyebabkan 232,000 orang terkorban di beberapa negara dengan jumlah tertinggi di wilayah Aceh.


Natawidjaja berkata, gempa bumi berukuran 8.8 boleh mencetuskan tsunami setinggi 4-10 meter. Pakar geologi itu berkata, walaupun Padang terletak di kawasan gempa paling aktif, pihak berkuasa bandar itu masih gagal membuat persediaan untuk menghadapi bencana itu.

"Pada pandangan saya, Padang tidak bersedia langsung. Struktur sedia ada tidak direka bentuk untuk berdepan dengan gegaran besar dan berikutan itu kerosakan yang disaksikan amat teruk," katanya.

Dipetik daripada akhbar Berita Harian

GILA-GILA KERBAU

yang ni amik dr internet...sorilah sumbernya x igtla


KUSYEN LANTAI


MUSIM rumah terbuka ketika ini, khususnya pada hujung minggu, sebenarnya turut mengundang satu masalah baru bagi tuan rumah iaitu bilangan kerusi terhad apabila kediaman dihadiri ramai tetamu pada satu masa serentak.


Namun jangan bimbang, kerana selain kerusi meja makan dan sofa, lantai juga tidak terkecuali boleh menjadi 'penyelamat' ketika waktu terdesak seperti ini.


Sudah semestinya, lantai yang dimaksudkan adalah di ruang tamu dan sudut bersesuaian, tetapi perlu diingat, janganlah lantai itu dibiarkan kosong. Sebaliknya, gunakan kreativiti anda dengan meletakkan alas lantai itu seperti permaidani atau paling mudah, kusyen lantai yang sememangnya mudah diperoleh di gedung beli-belah pada harga yang berpatutan


Sama ada sebagai tempat duduk tambahan, bantal dan ketika melayan tetamu atau menonton televisyen, kusyen lantai sememangnya memainkan peranan penting, cuma peranannya kurang dititikberatkan.


Silap jika ada yang beranggapan ia sekadar tempat duduk tambahan, kerana jika kena warna dan coraknya, kusyen lantai mampu menyerikan ruang yang suram, khususnya di kawasan kecil.


Apa yang menarik, kusyen bersaiz besar yang lazimnya dalam bentuk empat segi dalam aneka corak dan warna ini dijual siap sama ada lengkap bersarung atau pun kosong dengan pilihan sarung bukan saja menawarkan motif menawan tetapi juga sesuai tema kediaman.


Namun, di saat-saat 'kecemasan' meraikan tetamu, adalah digalakkan memilih kusyen lantai yang lengkap bersarung.


Berikut lima perkara penting perlu diutamakan sebelum membeli kusyen lantai:

# Fikirkan tujuan pembelian kusyen lantai itu, sama ada sebagai aksesori hiasan atau alas duduk. Jika alas duduk dan bantal, pilihlah yang lebih tebal dan besar.

# Pastikan pilihan warna dan corak bersesuaian dengan ruang, warna cat dan jenis lantai kediaman.

# Tentukan jenis kain sarung kusyen itu berkualiti, tahan lasak, mudah dicuci dan anti lapuk.

# Pilih kusyen memberikan ciri lembut dan empuk. Bagi memastikan kusyen yang dipilih selesa digunakan, anda digalakkan mencuba dulu sebelum membeli.

# Pastikan ukuran kusyen lantai cukup besar untuk menampung saiz tubuh. Ia penting dalam memastikan anda sentiasa selesa duduk di atasnya meskipun untuk tempoh berjam-jam lamanya.


Petua dan panduan ini sekiranya dipatuhi berupaya mengelakkan rasa ralat dan sesal akibat kesilapan memilih dan membeli kusyen dihajati
Petikan daripada berita harian

KUBUR TERPANJANG DI BUMI


Oleh Azman Zakaria



Tembok Besar China dapat gelaran kerana ketika pembinaannya ramai pekerja terutama petani terkorban


BANYAK sudah dikisahkan oleh ramai penulis mengenai tempat-tempat menarik di Beijing, China yang menyimpan pelbagai kisah sejarah silam.


Tembok Besar China sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia sentiasa menggamit dan menarik pelancong ke negara itu yang kini mula muncul sebagai antara kuasa ekonomi dunia.


Kata orang, tidak lengkap kunjungan ke Beijing jika tidak ke Tembok Besar China. Justeru, ketika membuat liputan acara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyertai sidang kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ketujuh, baru-baru ini, penulis berkesempatan menjejakkan kaki ke Tembok Besar China itu.


Sebaik tiba, yang terlintas di hati ialah tempat itu amat mengagumkan kerana tembok setegap dan panjang itu dapat dibina merentasi beberapa wilayah negara terbabit mencakupi hutan tebal di puncak pergunungan.


Akibat kesuntukan masa, penulis menaiki kereta kabel dari kaki pergunungan hingga ke kawasan pintu masuk ke Tembok Besar China di Mutianyu itu


Ketika menjejakkan di Tembok Besar China, terbayang bagaimana bongkah batu yang begitu besar dan banyak di susun rapi dalam saiz yang hampir sama bagi membentuk tembok sepanjang 6,700 kilometer (km) itu.


Indahnya pemandangan dari Tembok Besar itu. Meskipun dalam cuaca yang agak dingin itu, penulis berjalan beberapa ratus meter menikmati keunikan tembok itu.


Penulis juga saya berkunjung pusat beli-belah untuk membeli ole-ole bagi dijadikan buah tangan apabila pulang nanti.


Sedikit masa yang terluang hanya mengizinkan penulis ke pusat beli-belah di Silk Street, Chaoyang District yang jauhnya kira-kira satu kilometer dari hotel penginapan. Cuaca sejuk mengizinkan penulis berjalan kaki meskipun pada tengah hari.


Masalah yang dihadapi di pusat beli-belah ini yang menjual pelbagai barangan daripada pakaian, peralatan sukan, cenderahati, jam, mutiara dan barang elektronik termasuk telefon bimbit dan kamera, ialah tetap sama iaitu masalah bahasa.


Dengan sebahagian besar jurujual hanya mengetahui beberapa patah perkataan Inggeris, mesin kira menjadi penghubung dalam urusan tawar menawar dan jual beli untuk menyatakan harga yang mahu dijual atau dibeli.


Saya dimaklumkan penjual meletakkan harga permulaan yang tinggi terhadap semua barangan, dan pembeli harus memulakan proses tawar menawar pada harga 70 peratus lebih kurang daripada yang dinyatakan penjual.


Umpama ayam dan itik, itulah ibarat pertuturan antara penjual dan pembeli. Jurujualnya juga agak agresif hingga ada yang menarik tangan pengunjung yang mahu beredar dari kedai, untuk memastikan pengunjung berkenaan membeli barangan yang sudah ditawar.


Apapun, masalah bahasa tidak wajar dijadikan halangan ketika berada di Beijing. Bagi yang mahu berkunjung dan melawat ke pelbagai destinasi menarik di ibu kota China ini, mereka sewajarnya mendapatkan khidmat bantuan penterjemah.


Jika bernasib baik, boleh mendapatkan khidmat pemandu teksi yang boleh berturut bahasa Inggeris meskipun ini sesuatu yang sukar.


FAKTA TEMBOK BESAR CHINA


* Dikenali kubu China silam yang dibina sekitar 200 Sebelum Masihi (SM)

*Diperkukuh antara akhir abad ke-14 sehingga permulaan abad ke-17, ketika Dinasti Ming, untuk melindungi China daripada serangan puak Mongol.

*Panjang tembok kira-kira 6,700 kilometer (km), dari Shanhai Pass sehingga ke Teluk Bohai di sebelah timur yang terletak berhampiran dengan sempadan China dan Manchuria, sehingga Lop Nur di sebelah tenggara wilayah Xinjiang.

*Sebuah tembok pertahanan dibina di sempadan utara pada dinasti Qin dan dipelihara oleh dinasti-dinasti seterusnya. Lima pembinaan semula utama yang dicatatkan adalah seperti berikut:
-208 SM (Dinasti Qin)
-Abad ke-1 SM (Dinasti Han)
-Abad ke-7 (Dinasti Sui)
-1138 - 1198 (Zaman Lima Dinasti dan 10 Negara)
-1368 - 1640 (Dari Maharaja Hongwu sehingga Maharaja Wanli pada Dinasti Ming)

*Ia digelar 'kubur terpanjang di Bumi' kerana ramai yang mati terutama petani ketika membinanya.

*Tembok Besar Dinasty Ming bermula di timur dari Kubu Shanhai, dekat Qinhuangdao di Wilayah Hebei

*Ia melalui 9 wilayah, 100 daerah dan bahagian 500 km terakhir di barat sudah musnah sepenuhnya. Hujung di bahagian baratnya hari ini terletak di tempat bersejarah Jiayuguan (kubu Jiayu) di barat laut wilayah Gansu, pada hujung Jalan Sutera.

*Kedudukannya kira-kira satu jam perjalanan dari Beijing.

LAIN PADANG, LAIN BELALANG

LAIN padang lain belalang, lain orang, lainlah pula ragamnya. Perbezaan budaya jika tidak diambil kira apabila mengembara boleh mendatangkan masalah terutama apabila dicampur permasalahan bahasa.

Justeru, pantang-larang antara budaya berikutnya boleh diambil kira untuk mengelakkan kesulitan


OK TAPI TAK OK

DI kebanyakan tempat, menunjukkan isyarat ibu jari ke atas bererti semuanya OK atau bagus bergantung kepada konteks atau situasi. Ada juga yang menggunakannya bagi memberitahu rakan atau pasangan mereka bahawa sesuatu perkara atau hal berjalan dengan lancar.

Namun, di Iran, ia boleh menimbulkan pergaduhan atau perselisihan faham kerana ia membawa maksud kurang sopan.

Isyarat bulatan dengan menggunakan ibu kaki dan jari telunjuk yang membawa maksud bagus pula membawa konotasi berbeza di Brazil dan Turki.

Ini dianggap satu bentuk cacian yang menyamakan seseorang dengan bahagian hujung punggung manusia.



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



SENTUH KEPALA

Di negara yang masih berpegang dengan amalan Buddha yang kuat seperti Thailand, anda dinasihatkan sama sekali tidak menyentuh kepala rakan.

Ini kerana kepala dianggap suci dan sesiapa pun tidak menyentuh kepala orang lain walaupun budak kecil atau bayi.

Satu lagi pantang-larang utama di Malaysia menggunakan jari telunjuk untuk menunjukkan arah yang dikatakan agak kurang sopan.

Budaya masyarakat negara ini adalah menggenggam semua jari sambil ibu jari yang digunakan untuk menunjukkan arah.

Budaya orang Filipina dalam hal berkaitan tunjuk arah pula lebih menarik apabila hanya menggunakan lirikan mata atau memuncungkan mulut untuk menunjukkan barangan yang dicari. Mungkin kurang sopan untuk masyarakat lain, namun ia amalan biasa untuk warga negara itu.

TOPIK SENSITIF

Bergantung kepada negara yang anda lawati, ada perkara yang seharusnya tidak diutarakan apabila berniat untuk memulakan bicara.

Di Australia, elakkan untuk membangkitkan isu mengenai penduduk pribuminya, manakala di China, warganya amat sensitif mengenai isu hak asasi manusia.

Warga Jepun dikatakan tidak gemar memperkatakan sejarah dan pendudukan mereka ke negara Asia sepanjang Perang Dunia II.

Sementara, masyarakat India tidak suka jika ada yang membangkitkan mengenai budaya hantaran perkahwinan yang perlu disediakan oleh wanita.

Di Ireland, ada penduduknya yang mudah tersinggung sekiranya anda merujuk negara itu sebagai salah satu pulau British.

Untuk memendekkan cerita, mulakan perbualan mengenai rutin kehidupan seharian seperti makanan atau pekerjaan seseorang.

Bukan saja di luar negara. Jika mengembara ke negeri di Malaysia pun, anda perlu berhati-hati apabila membincangkan sesuatu perkara terutama apabila membabitkan perihal politik semasa.

ISKANDARIAH MUTIARA MEDITERRANIAN


Oleh Zainal Abidin Sulaiman



Iskandariah diisytihar bandar terbersih di Mesir, jadi tumpuan pelancong


ISKANDARIAH, satu lagi bandar bersejarah di utara Mesir dan kedua terbesar di negara Firaun itu selepas Kaherah.


Kesempatan menyertai rombongan pakej umrah dan ziarah yang dianjurkan Andalusia Travel & Tours, baru-baru ini membawa penulis ke kota ini atau nama lainnya, Alexandria selepas singgah di Kaherah.


Berdasarkan sejarah, Iskandariah didirikan kerana kepentingan pelayaran di Laut Mediterranean untuk ke Greece dan menguasai lautan itu.


Bandar ini terletak tidak lebih 250 kilometer dari Kaherah, dibuka pada 332 Sebelum Masehi (SM) oleh pahlawan Greek, Alexander The Great, menjadi ibu kota Mesir dan berkembang menjadi antara kota terbesar di barat pada masa itu.


Iskandariah yang mempunyai kesan tinggalan empayar Rom terletak di pesisir pantai Laut Mediterranean. Di sini, ada banyak bangunan bersejarah tinggalan pemerintah dari sebelum sehingga zaman Mesir moden.


Kota lama ini menjadi tumpuan penduduk Mesir untuk bersantai dan mandi manda kerana kedudukannya berhadapan lautan selain cuacanya yang bersesuaian untuk aktiviti luar.


Antara yang sempat dikunjungi penulis ketika singgah di kota lama ini ialah sebuah masjid dikenali sebagai Masjid Nabi Daniel yang menempatkan dua makam, iaitu makam Nabi Daniel dan makam Luqman al-Hakim.


Ada pendapat mengatakan ia bukan makam Nabi Daniel, tetapi sebenarnya makam Imam Daniel. Untuk melihat makam ini, pengunjung perlu turun ke dalam sebuah terowong di dalam masjid itu.


Perpustakaan kuno Iskandariah juga menarik untuk dilawati. Ia pertama kali dibuka 2,000 tahun yang lalu, pernah memiliki 700,000 jilid buku kuno dan perpustakaan terbesar di dunia, tetapi musnah dalam kebakaran ketika penguasaan Rom.


Atas daya usaha Kerajaan Mesir, Perpustakaan Iskandariah dihidupkan kembali dan dengan bantuan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), kompleks ini akhirnya dirasmikan pada 16 Oktober 2002.


Berdasarkan pengamatan ketika berkunjung ke Kaherah, Iskandariah nampaknya lebih bersih daripada ibu negara Mesir itu


Kenderaan yang memenuhi rangkaian jalannya kelihatan baru, teksi juga dicat baru walaupun ia kereta lama, semuanya sesuai dengan status Iskandariah sebagai bandar peranginan.


Dalam banyak-banyak kereta yang memenuhi jalan raya di kota ini, terbit rasa bangga di hati penulis apabila tiba-tiba melihat sebuah kereta Proton Gen2 di sisi bas yang kami naiki.


Dari bandar ini, kelihatan Laut Mediterranean yang bersih dan airnya jernih hingga dapat melihat rumpai laut, manakala sampah sarap terapung tidak kelihatan langsung.


Tidak hairanlah, Iskandariah diisytihar bandar terbersih di Mesir dan menjadi tumpuan pelancong tempatan serta asing bagi menikmati keindahan pantai serta lautnya.


Selain makam Luqman al-Hakim dan makam Nabi Daniel, produk pelancongan lain di kota ini ialah Istana Raja Farouk atau Montaza Palace serta kawasan perkuburan lama, Kom Al Shokafa.


Iskandariah yang dikatakan dinamakan sempena nama Alexander The Great, juga terkenal sebagai pelabuhan terbesar di Mesir dan antara pelabuhan terbesar di dunia.


Bagi penulis, antara pengalaman paling menarik tentunya melihat begitu banyak kenderaan lama di kota ini, selain sikap pengguna kenderaan yang berbudi bahasa di jalan raya.


Jika ada orang melintas jalan walaupun secara tiba-tiba, pemandu tenang menekan brek memberi laluan, bukan menjerit atau memaki hamun.


Sikap pemandu yang tidak memandu laju dan sedia memberi laluan, membuatkan pengguna kenderaan yang ingin keluar di simpang jalan atau membuat pusingan U tidak perlu menunggu lama


Ketika kami dalam perjalanan dari Kaherah ke Iskandariah, pemandu bas rombongan hanya memecut paling laju pun 100 kilometer sejam walaupun keadaan jalan ketika itu lapang dan lurus.

ANGGUR SENDAYAN


Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismailbminggu@bharian.com.my

JIKA selama ini, rakyat negara ini membeli anggur yang diimport dari luar negara, tidak lama lagi Malaysia boleh berbangga dengan label Anggur Sendayan Valley atau Lembah Sendayan. Tiada siapa sangka Sendayan dekat Seremban, Negeri Sembilan, mempunyai ladang anggur yang dinamakan 'Sendayan Valley'.

Ladang anggur yang dimajukan A-Winn Corporation Sdn Bhd sejak hampir dua tahun lalu diusahakan dua sahabat, Azrul Nazim Abd Azam, 35, sebagai Pengarah Urusan dan Arthur Baumann, 49, sebagai Pengarah Eksekutif. Menarik untuk mengetahui kisah di sebalik pembukaan ladang ini kerana Azrul Nazim dan Arthur tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian. Berbekalkan minat, mereka tekad mengusahakan ladang anggur di Sendayan.
Azrul Nazim berkata, pertama kali melihat tanaman anggur ialah ketika melawat Thailand beberapa tahun lalu menyebabkannya kagum dengan kesungguhan petani negara itu mengusahakan anggur.

"Ketika itu, saya belum terfikir untuk mengusahakan ladang anggur. Apabila pulang ke Malaysia, saya berhasrat menceburi bidang pertanian dan kemudian terfikir untuk mengusahakan ladang anggur," katanya.

Bagi Azrul Nazim, menanam anggur ialah suatu cabaran kerana tidak semua orang boleh buat, tetapi memberikan kepuasan kepadanya. Bermula pada 2007, sebanyak RM6 juta dilaburkan untuk projek ini yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) dan pembiayaan kewangan Agro Bank.

Walaupun seluas kira-kira 20 hektar, hanya 10 hektar dimajukan dan bakinya digunakan awal tahun depan. Beliau berkata, percubaan peringkat awal mengecewakan kerana 4,000 daripada 10,000 pokok yang ditanam mati menyebabkan hanya 6,000 pokok yang tinggal hingga sekarang.

Katanya, empat jenis anggur ditanam di ladang itu, iaitu Black Opal, White Malaga, Shiraz dan Black Pearl dengan setiap jenis ditanam antara 1,000 hingga 2,000 pokok. Bagaimanapun, katanya ladang itu turut ditanam bidara, nona, jambu dan mangga, tetapi tumpuan utama ialah anggur.

Azrul Nazim mengakui anggur sesuai ditanam di negara kerana iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun.

"Ramai orang tidak tahu anggur ada dua jenis. Pertama, anggur yang sesuai ditanam di kawasan iklim sejuk dan kedua, di kawasan panas seperti Malaysia. "Ini tidak menjadi persoalan kerana yang paling penting ialah penjagaan rapi kerana anggur mudah mati dan juga mudah hidup," katanya.

Beliau berkata, anggur Sendayan Valley sudah empat kali dituai, tetapi rasanya belum mencapai piawaian ditetapkan, manakala tuaian akan datang dijangka selepas Aidilfitri ini sebanyak tiga hingga empat tan yang dijangka lebih manis dan setanding anggur import. Katanya, tuaian besar-besaran antara 30 hingga 50 tan dijangka pada April tahun depan dan boleh dijual di pasaran tempatan.

Sementara itu Arthur berkata, setakat ini mereka merancang untuk memasarkan anggur Sendayan Valley untuk pasaran tempatan.

"Saya harap dengan anggur Sendayan Valley, kita tidak lagi perlu bergantung kepada anggur import dan pengguna mempunyai pilihan sama ada mahu anggur import atau Sendayan Valley. Sudah tentu, harga anggur tempatan dijangka berpatutan," katanya.

Arthur berkata, Sendayan Valley akan meningkatkan pengeluaran anggur, tetapi masih dalam proses penyelidikan untuk mendapat anggur terbaik.

Selain itu, katanya mereka berhasrat menjadikan Sendayan Vallley sebagai antara destinasi agro pelancongan terkemuka di negara ini, terutama dengan lokasi yang hanya kira-kira 90 kilometer dari Kuala Lumpur dan berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kami akan menaik taraf ladang ini untuk menarik pengunjung datang berehat di sini sambil menikmati buah-buahan dan memperkenalkan Negeri Sembilan sebagai pengeluar anggur tempatan terkemuka di Malaysia," katanya.

Cuaca panas dan kelembapan tinggi serta hujan lebat sepanjang tahun adalah antara cabaran getir yang dihadapi Azrul Nazim Abd Nazam dan Arthur Baumann bagi memastikan tanaman anggur di Sendayan Valley menjadi.

Anggur memang rumit ditanam kerana memerlukan penjagaan dan pembajaan secukupnya, selain sensitif terhadap hujan lebat dan angin kencang. Pokok anggur yang memanjat bergantung kepada tiang khas mudah rosak jika terkena hujan lebat atau dilanda angin kuat.

Cabaran alam ini menyebabkan daripada 10,000 pokok yang ditanam pada peringkat awal, hanya tinggal 6,000 pokok berikutan cuaca tidak menentu.

Bagaimanapun, dua sahabat ini tidak mengalah dan meneruskan usaha mereka hingga hari ini. Menyedari kesukaran yang bakal dihadapi, mereka mendapatkan kepakaran dua pekerja dari Thailand yang berpengalaman menanam anggur.

Azrul Nazim berkata, pembajaan perlu dilakukan dengan tepat kerana jika berlebihan boleh merosakkan pokok, manakala baja yang digunakan ialah campuran organik. Katanya, walaupun penanaman pokok anggur rumit, Sendayan Valley menggunakan teknologi biasa seperti tanaman lain.

"Hasil tuaian pertama dibuang kerana pokok baru menyebabkan anggur tidak manis. Hanya tuaian kedua, baru boleh dimakan kerana pokok matang dan rasa lebih manis," katanya. Beliau berkata, dahan anggur juga perlu dipangkas dari semasa ke semasa bagi merehatkan pokok, berbanding di negara iklim sejuk yang dibantu alam semula jadi, iaitu proses hibernasi (pokok seperti tidur) pada musim sejuk.

Namun, katanya proses memangkas dahan perlu kerap dibuat kerana dahan baru cepat tumbuh, manakala pokok disiram dua kali sehari, sekali pada waktu pagi dan kemudian waktu petang sebelum senja.

Azrul Nazim berkata, tidak banyak perbezaan di antara anggur di kawasan panas dan sejuk, malah anggur kawasan panas lebih segar kerana ditanam di sini. Katanya, benih diambil dari Thailand kerana negara itu lebih maju dalam penanaman anggur yang bukan saja dijual di negara itu, malah dieksport.

"Anggur boleh dituai selepas 10 atau 11 bulan, tetapi masalah lain ialah burung cukup suka anggur yang manis dan sering datang 'bermain' di ladang ini, terutama ketika buah mula membesar dan masak. Untuk mengatasi masalah ini, jerat dipasang untuk menakutkan burung," katanya.