salam
alhamdulillah...arini ari terakhir persekolahan...ya ka?...bkn utk kami tp utk bebudak ni hu2...maknanya sok sampai ari jumaat kna keje la ya?...gitulah gamaknya hu3...apa2 pn arini memang last skola pn...jd sok klu g keje pon x dok wt pe...cuma dok mengemas apa2 yang patut
pg tadi ada gotong - royong perdana...ramai gaklah bebudak yang dtg...pas tu ada wt perhimpunan kali terakhir utk sesi 2009...bebudak spm ngan stpm plak ada sesi bersalam-salaman sblm nk amek exam...nk amek berkat b restula katakan...
malam plak ada jamuan akhir tahun...kat mana?..ble la kat miyuki, semporna...mana tu?..ala tempat apek ngan maya karin berlakun dlm cite duyung..oooo tau2...tp kna bayar la sorg rm15...cek g 2 org so rm30 la kan ha3....x po setahun sekali lalala...
k la nnti kita sambung lagi naaaa
Monday, November 16, 2009
AKON SUNTIK LAGU WHITNEY

JUDUL Album: I Look To YouArtis: Whitney HoustonKonsep Muzik: PopEdaran: Sony BMG Music Entertainment
KOMEN: Whitney Houston bukan sahaja sudah lama menyepikan diri, malah dia juga tidak banyak tampil dengan lagu-lagu popularnya seperti tahun-tahun 1980-an yang menjulang namanya.
Namun, album terbarunya yang menampilkan 11 lagu ini menampilkan banyak lagu-lagu berentak pop dengan campuran R&B dan hip hop menampilkan lagu-lagu yang kuat melodinya.
Kekuatan penyampaian lagu-lagu dalam album ini bukan sahaja diperkuatkan dengan ‘tarikan’ suaranya yang lantang dan bersemangat.
Malah, album ini turut dilonjakkan lagi menerusi lagu berentak perlahan Like I Never Left hasil sentuhan duet Whitney bersama penyanyi kulit hitam popular masakini, Akon.
Lagu-lagu lain yang tidak kurang hebat terutamanya berentak perlahan berjudul I Look To You dan As Song For You di mana kebanyakannya menggunakan kekuatan sentuhan piano bagi menghidupkan lagi kesesuaian penyampaiannya.
sumber daripada utusan malaysia
Sunday, November 15, 2009
TAMAN RAMUAN: TUAI HASIL SENDIRI


Pokok cili, terung dan serai antara pokok wajib Taman Ramuan
USAHA memperkenalkan konsep 'Edible Garden' atau Taman Ramuan ilham Tun Jeanne Abdullah, kira-kira dua tahun lalu kini terbukti semakin digemari ramai. Selain memanfaatkan masa yang terluang, aktiviti berkebun ini juga menyumbang kepada ekonomi rumah tangga apabila pasangan suami isteri dapat berjimat cermat dengan menuai hasil titik peluh.
Lebih menarik, minyak kereta atau motor juga dapat dijimatkan apabila tidak lagi perlu ke kedai semata-mata untuk mencari dua tiga helai daun kari yang boleh dipetik di Taman Ramuan.
Tidak hairanlah, ramai yang berusaha membina kebun dapur di kediaman masing-masing walaupun laman hanya 'sekangkang kera' atau ruangnya terhad.
Pengurus Acacia Landscape Consultants Sdn Bhd, Norzwin Mohd Noor, berkata sudah ada pelanggan yang menanyakan mengenai Taman Ramuan itu sejak kebelakangan ini, termasuk mereka yang menginap di kediaman yang mempunyai laman terhad seperti rumah teres.
"Namun, secara umumnya mereka masih kurang jelas mengenai konsep taman ramuan yang sebenarnya dan menganggap ia hanya sesuai untuk laman di bahagian belakang atau dapur saja.
"Ini tidak tepat kerana hakikatnya, taman ramuan juga boleh di bangunkan di laman hadapan kediaman," katanya.
Norzwin berkata, antara pokok yang mendapat sambutan bagi penggemar Taman Ramuan ini adalah cili, terung, daun kari, serai, kunyit serta daun pandan.
"Selagi boleh, kami mahu menerapkan konsep taman ramuan dalam setiap rekaan landskap yang bakal dibina kerana ia lebih berbaloi ditanam. Kami akan menerangkan kepada pelanggan mengenai konsep kebun dapur ini serta fungsi tumbuhan yang diperkenalkan supaya mereka lebih faham dan menghargainya," katanya.
Norzwin berkata, kebiasaannya, kebun dapur yang dibina tidak terhad menggunakan tumbuhan boleh dimakan saja tetapi turut membabitkan tumbuhan hiasan untuk kegunaan aromaterapi dan herba yang menyembuhkan penyakit atau tumbuhan yang boleh dimanfaatkan pemilik kediaman seperti pokok halau nyamuk dan tongkat ali.
"Kami juga terapkan konsep kebun dapur bukan hanya dibina di kawasan sekitar belakang rumah sebaliknya menjadi penghias laman hadapan. Ini bermakna ia boleh diselang selikan dengan pokok bunga seperti mawar, bunga kembang pagi serta periuk kera," katanya.
Malah, katanya, jika diamati, tumbuhan herba yang boleh dimakan juga cantik sebagai penghias laman depan seperti pokok hati-hati, cili dan tongkat ali manakala periuk kera spesies pokok memanjat cantik menjadi penghias tepian pagar atau buaian kayu.
Beliau menjelaskan Taman Ramuan atau Kebun Dapur juga menerapkan elemen bau-bauan iaitu adanya pokok yang berfungsi mengharumkan laman seperti melur, tanjung dan bunga ros Jepun.
"Laman yang cantik bukan hanya menarik dipandang tetapi mempunyai fungsi tertentu untuk penghuni kediaman. Elemen deria perlu di ambil kira untuk membangunkan landskap kediaman kerana ia dapat meningkatkan lagi gaya hidup penghuni," katanya
Tip : Idea Taman Ramuan
1) Gabungkan deria untuk membangunkan Taman Ramuan seperti sentuhan, rasa, mendengar, melihat dan bau.
2) Pastikan gabungan yang sesuai - seelok-eloknya pokok ulaman tanpa perisa dengan pokok yang mudah diserang penyakit seperti pokok bunga tahi ayam dengan tomato.
3) Gunakan pasu dan petak kayu atau plastik serta hiaskan dengan batu sungai dan batu pasir untuk mencantikkan lagi taman.
4) Buatkan busut dan susun pokok secara bertingkat atau gunakan pegola dan sangkutkan pasu kecil di para-para untuk memberikan kesan eksotik. Boleh juga gunakan buaian.
5) Gunakan sabut kelapa kering untuk menutup ruang dan menaikkan seri taman
sumber daripada berita harian
Oleh Rohaniza Idris
BAYI PELIK RUSIA

Badan Ali Yakubov dipenuhi lakaran ayat suci al-Quran
SEORANG bayi sembilan bulan di pedalaman Kizlyar, Dagestan di selatan Russia, menjadi tumpuan ramai berikutan kemunculan lakaran petikan ayat suci al-Quran pada beberapa bahagian tubuhnya.
Kemunculan petikan ayat suci al-Quran berwarna merah jambu pada badan Ali Yakubov, bersilih ganti setiap dua kali seminggu iaitu Isnin dan malam Jumaat, yang berlaku seawal kelahirannya tetapi menjadi semakin kerap sejak beberapa minggu lalu.
Ia timbul pada beberapa bahagian badan Ali seperti di belakang, kaki, perut dan tangannya sebelum pudar, lenyap dan muncul di bahagian lain.
Antara maksud lakaran itu termasuk ‘Allah Maha Besar’ dan ‘Allah yang menciptakan semua ini.’
Kejadian pelik yang turut disiarkan di internet itu bukan hanya mencetuskan tanda tanya ramai sehinggakan ada yang sanggup bertandang ke rumahnya setiap hari, tetapi juga misteri kepada pakar perubatan Russia yang sehingga kini belum dapat merungkai fenomena berkenaan
Keluarganya dan orang ramai menganggapnya satu keajaiban membuktikan kebesaran Allah SWT, apalagi di wilayah yang sudah lama bergelut dengan konflik berdarah antara pihak berkuasa Russia dan pemisah Islamnya, termasuk kejadian serangan bunuh diri yang mengorbankan ramai.
Pakar perubatan juga menafikan lakaran itu mampu menjelma sendiri atau ditulis seseorang, ketika pihak lain yang meraguinya menganggapnya satu masalah alahan kulit. Tidak kurang pula yang menuduh ia angkara ibu bapa Ali, Shamil dan Madina yang menggunakan cecair campuran lada dan garam bagi menjadikan Ali ‘bayi ajaib.’
Apa yang pasti, setakat ini, sekurang-kurangnya 2,000 orang sehari, berpusu-pusu mengunjungi rumah Ali setiap sejak berita kejadian pelik itu tersebar, termasuklah pakar perubatan dan wartawan pertubuhan media asing yang menyaksikan sendiri lakaran ayat suci pada kulit bayi comel berkenaan.
Berikutan itu, pihak berkuasa terpaksa mengawal rumah Ali bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Bagi ibunya, Madina, beliau mempunyai kisah tersendiri di sebalik fenomena yang dialami anak keduanya itu.
“Ali lahir tidak cukup bulan dan disahkan pula menghidap penyakit jantung serta kulitnya yang terlalu nipis sehingga menampakkan bahagian ususnya. Doktor ketika itu meramalkan dia hanya mampu hidup dua atau tiga hari selepas dilahirkan.
“Di celah kesedihan dan kebimbangan itu, kami perasan lakaran Allah pada dagunya tetapi menganggapnya satu tanda lahir. Tidak disangka pula, berkat doa kami kepada Allah SWT dan dengan kemunculan ayat suci itu, kami dikejutkan berita Ali pulih daripada semua penyakit itu.
“Malah, doktor yang merawatnya juga kehairanan bagaimana penyakit yang boleh meragut nyawanya itu, mampu lenyap begitu saja. Buktinya, Ali mampu hidup sehingga ke hari ini,” kata Madina yang dipetik media tempatan dan antarabangsa.
Menurut Madina, Ali lazimnya mengalami demam panas sebelum dan ketika kemunculan petikan ayat suci berkenaan. Anak kecil itu juga sering menangis selain lebam pada bahagian tertentu badan yang disusuli dengan kemunculan petikan ayat suci.
Anehnya, biarpun diberi ubat, demam dialami Ali itu tidak kebah dan lazimnya hilang sendiri selepas kemunculan ayat suci berkenaan.
“Kami menganggapnya satu keajaiban serta peringatan daripada Allah,” kata Madina.
Pemimpin Kizlyar, Sagid Murtazaliyev, pula menyifatkan kejadian itu satu pesanan Allah SWT kepada penduduk supaya kembali mengamalkan tuntutan agama dan mengingati konflik berdarah di kawasan itu
sumber daripada berita harian
HANTU RAYA TUMPANG MOTOSIKAL

Enjin kenderaan tiba-tiba mati sebaik tiba di kawasan yang dibersihkan, bersebelahan rumah usang
KEJADIAN ini berlaku ketika bulan puasa menghampiri dan selain bersiap sedia untuk memulakan ibadat puasa, umat Islam turut mengambil kesempatan mengumpul rezeki dengan berniaga di bazar Ramadan.
Tidak ketinggalan Abidin yang berhasrat menjual air soya berhampiran rumahnya. Bagi tujuan itu dia membersihkan tanah terbiar berhampiran rumah di Butterworth untuk dijadikan tempat berniaga.
Di sebelah kawasan itu, tinggal seorang warga emas yang sudah kematian isteri. Rumah usang yang diduduki warga emas itu mengundang seram sesiapa yang memandang terutama pada waktu malam kerana sudah diketahui satu kampung dia membela hantu raya.
Warga emas yang digelar orang kampung Pak Yim itu juga sudah nyanyuk dan kadang-kadang kelihatan berbogel berjalan mengelilingi rumahnya. Makan minumnya dijaga jiran yang bersimpati dengan Pak Yim.
Abidin memang kenal benar dengan Pak Yim kerana dia pernah mengunjungi orang tua itu meminta dia menunjukkan makhluk peliharaannya. Dengan berpura-pura ingin menuntut ilmu sesat itu, dia berjaya memperdayakan Pak Yim memperlihatkan ketujuh-tujuh makhluk berkenaan.
“Mulanya, ia datang dalam bentuk kucing yang besar. Lebih kurang sebesar anjing sebanyak tujuh ekor. Tidak berpuas hati, saya minta dia tunjuk dalam bentuk sebenar makhluk itu. Kemudian, muncul tujuh ekor ular yang besar.
“Saya merayu dia menunjukkan rupa sebenar. Tidak lama selepas itu saya nampak lembaga yang besar dan hitam dengan mata merah menyala. Menyedari niat saya dan rakan hanya mahu melihat makhluk itu, bukan untuk menuntut ilmu, Pak Yim menghalau kami.
“Saya pernah bertanya mengapa dia tidak membuang makhluk itu kerana dia sudah tua. Namun katanya dia sayang,” kata Abidin.
Abidin tidak berasa risau membersihkan semak samun di sebelah rumah Pak Yim kerana tahu tanah itu bukan kepunyaan orang tua berkenaan. Makhluk peliharaan Pak Yim cuma menjaga harta bendanya saja.
Hampir separuh hari berhempas pulas, Abidin tersenyum lega melihat tanah sekangkang kera itu sudah bersih. Kini dia cuma membilang hari memulakan perniagaan air soya.
Malam itu, Abidin ke rumah rakannya untuk membincangkan perniagaan mereka. Perbincangan yang disangka cuma sekejap rupanya mengambil masa panjang. Selepas jam 12 tengah malam Abidin akhirnya meminta diri untuk pulang.
Dia sedikit pun tidak berasa takut menaiki motosikal untuk balik ke rumah yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah rakannya. Dia sudah biasa balik ke rumah pada waktu dinihari.
Bagaimanapun, sebaik melintas kawasan baru dibersihkannya petang tadi, motosikalnya tiba-tiba berat dan enjinnya mati.
“Kenapa pula motosikal ini tiba-tiba buat hal. Tadi elok saja. Minyak habiskah atau tayar pancit?” Abidin menyoal diri sendiri tanpa mengesyaki sebarang perkara lain.
Sedang asyik tertanya sendiri, dia tiba-tiba terpandang cermin sisi dan ketika itu semangat lelakinya sedikit tercabar. Daripada cermin itu, dia ternampak ada makhluk duduk membonceng di belakang dengan siung yang panjangnya kira-kira sejengkal.
Ketika itu, Abidin hanya mampu membaca ayat suci al-Quran dan bersungguh-sungguh menghidupkan motosikalnya. Hanya selepas melepasi kawasan itu, barulah motosikalnya kembali bergerak laju.
Abidin tidak menoleh ke belakang lagi. Dia terus memecut sehingga sampai di rumah. Abidin tidak terus masuk, sebaliknya untuk beberapa minit dia terus berada di motosikalnya untuk mengumpul semula kekuatan. Berikutan itu, hasratnya untuk berniaga pada bulan puasa dibatalkan.
Beliau bukan yang pertama diusik makhluk peliharaan Pak Yim kerana sebelum itu ada beberapa orang pernah diganggu tetapi tidak sampai menunjukkan rupa seperti yang berlaku kepadanya.
Seorang rakan abang Abidin pernah dimarah ayahnya kerana disangka ingin berjenaka apabila memberitahu tidak boleh mengangkat kereta sorong berisi tanah yang tidak seberat mana.
“Mereka sedang membersihkan kawasan berhampiran rumah Pak Yim apabila Haikal memberitahu ayahnya kereta sorong berisi tanah itu amat berat. Ayahnya menyangka dia bergurau.
“Tiba-tiba Pak Yim datang dan berkata: ‘Jangan kacau mereka’, barulah kereta sorong itu boleh digerakkan. Rupa-rupanya Pak Yim datang memarahi makhluk peliharaan yang duduk di dalam kereta tolak itu,” kata Abidin.
sumber daripada berita harian
KELEBIHAN BERKHATAN
MUSIM cuti sekolah sudah tiba. Kanak-kanak melompat gembira kerana cuti persekolahan hujung tahun agak panjang. Berbagai rancangan telah diatur ibu bapa agar cuti kali ini memberi manfaat kepada anak-anak. Namun, sesetengah kanak-kanak lelaki mula gementar lutut apabila mereka diatur untuk berkhatan di musim cuti sekolah ini.
Berkhatan adalah pembedahan kecil yang dilakukan bagi membuang kulit hujung (muncung) zakar. Tujuan utamanya ialah untuk menjaga kebersihan. Sebagai satu tuntutan agama, berkhatan adalah satu kebiasaan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Prosedur ini dilakukan ketika kanak-kanak berumur antara lima hingga 12 tahun dan amat digalakkan ketika mereka berumur 10 tahun ke bawah bagi menghindar sifat malu dan mereka perlu bersih dari najis dan kekotoran sebelum mengerjakan solat lima waktu.
Kelebihan khatan
Kulit yang berlebihan pada hujung zakar mempunyai iklim yang amat sesuai untuk pertumbuhan kuman kerana ia sering cedera, lembap dan bersifat menakung. Ia menakung kotoran saki baki air kencing dan menghasilkan longgokan putih dan berbau busuk yang dikenali sebagai 'smegma'. Smegma ialah najis yang membatalkan air wuduk dan sembahyang. Smegma juga menjadi faktor penyebab jangkitan kuman pada zakar seperti phimosis, paraphimosis atau balanitis. Dalam keadaan yang serius, ia menyebabkan kesakitan yang teruk dan kesukaran membuang air kecil.
Kajian telah membuktikan bahawa bayi yang berkhatan mempunyai 10 kali lebih rendah kadar risiko jangkitan kuman salur kencing berbanding mereka yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing pada kanak-kanak kecil adalah serius kerana tanpa rawatan ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan.
Berkhatan juga mampu mengurangkan risiko penyakit kanser terutama kanser zakar, prostat, serta kanser serviks (pangkal rahim) dan payudara kepada wanita. Telah dibuktikan bahawa kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara faktor pencetus kanser serviks di kalangan wanita. Kuman ini didapati berlindung di bawah kulit hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita semasa persetubuhan. Terdapat kajian menunjukkan jika semua lelaki berkhatan, maka sebanyak 20 peratus kadar kejadian kanser serviks boleh dielakkan. Virus sama juga boleh mencetuskan kanser payudara.
Kajian pemerhatian turut menunjukkan risiko kanser zakar rendah di kalangan mereka yang berkhatan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkhatan pada umur kurang dari satu tahun. Hasil dari kajian ini, ramai orang bukan Islam juga mengamalkan khatan. Kajian di beberapa negara Eropah menunjukkan lelaki yang berkhatan mempunyai kadar risiko kanser prostat dua kali lebih rendah. Kejadian kanser ini ada hubung kait dengan penyakit kelamin di mana lelaki berkhatan mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat penyakit tersebut.
Pada 28 Mac 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan penting berkenaan kaedah pencegahan kuman HIV. Kenyataan itu berbunyi, 'kajian saintifik telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa lelaki berkhatan mengurangkan kadar perpindahan kuman virus HIV kepada wanita atau isteri. Seeloknya, berkhatan dilakukan sewaktu berumur lebih kurang satu tahun kerana kadar risiko dan komplikasi prosedur lebih rendah'. Berkhatan juga telah mula diamalkan di negara yang berisiko tinggi akan jangkitan HIV seperti di beberapa buah negara di benua Afrika.
Kesediaan anak
Adakah anak-anak anda bersedia untuk dikhatankan? Sebagai ibu bapa, amat penting bagi kita memastikan fizikal dan minda anak kita sihat sebelum berkhatan. Ia dapat mengurangkan komplikasi. Kanak-kanak berada di dalam ketakutan bila mana ayah dan ibu menyuruh mereka berkhatan. Prosedur lebih mudah apabila kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan tenang dan faham apa yang akan dilakukan oleh doktor kepada mereka. Maklumat yang tidak tepat menyebabkan ada kanak-kanak menjerit semasa prosedur dijalankan, malah ada yang cabut lari.
Minda kanak-kanak lelaki perlu dipersiapkan terlebih dahulu sebelum prosedur dapat dilakukan dengan mudah dan selamat. Berilah asuhan agama yang mendalam kepada mereka. Terangkan kenapa berkhatan digalakkan dalam agama Islam. Beritahu mereka kelebihan berkhatan. Membawa kanak-kanak lelaki ke majlis kenduri berkhatan adalah cara yang baik. Ia memberi idea kepada kanak-kanak tersebut betapa pentingnya berkhatan. Kadang kala, kita perlu menjanjikan benda kesukaan mereka seperti alat permainan komputer atau basikal jika mereka bersetuju berkhatan. Ianya bukanlah rasuah tetapi sekadar pemudah cara.
Andai anak lelaki anda bersetuju untuk berkhatan, maka bawalah mereka berjumpa doktor atau mereka yang bertauliah. Anak anda perlu diperiksa oleh doktor bagi mengetahui tahap kesihatan dan juga bagi menghindarkan komplikasi prosedur tersebut. Doktor perlu mengetahui dan memastikan zakar anak anda normal, anak anda tiada penyakit hemofilia (penyakit gangguan pembekuan darah), tidak mengambil ubat yang boleh mengakibatkan pendarahan seperti aspirin atau warfarin, tidak menghidap penyakit jantung reumatik dan penyakit lain seperti kencing manis, sawan, asma dan alahan. Kanak-kanak yang mempunyai masalah sebegini akan dirujuk kepada doktor pakar bedah bagi menentukan kaedah berkhatan yang sesuai dan selamat.
Prosedur
Bagi kanak-kanak yang normal dan sihat, pembedahan 'dorsal slit' adalah kaedah berkhatan pilihan Kementerian Kesihatan kerana ia mudah dan selamat. Kaedah-kaedah menggunakan peralatan moden seperti Tara Klamp atau Smart Klamp juga boleh digunakan. Walaubagaimanapun, kaedah ini hanya dilakukan di klinik atau hospital swasta kerana kosnya adalah lebih tinggi berbanding kaedah pembedahan di hospital atau klinik kerajaan.
Pada pagi sebelum ke hospital atau klinik, pastikan anak anda mandi dan beri penekanan kepada kebersihan zakar. Sebelum prosedur dilakukan, pastikan anak anda sudah membuang air besar atau kecil agar tiada sebarang masalah semasa prosedur dilakukan.
Selepas mendaftar dan borang keizinan prosedur ditandatangani, anak anda akan dimasukkan ke bilik pembedahan kecil. Anda boleh menemani anak anda dengan syarat segala prosedur bilik bedah diikuti. Sebelum prosedur, kawasan sekeliling zakar dibersihkan menggunakan bahan pembunuh kuman (disinfektan). Ia untuk memastikan kuman sekeliling tidak menjangkiti luka khatan kelak.
Ubat bius setempat diberikan agar anak anda tidak merasa sakit sepanjang prosedur. Malangnya suntikan ubat bius kali pertama sedikit menyakitkan. Sebaik sahaja anak anda mengatakan tidak sakit selepas kulit zakar mereka dikepit, maka doktor akan memulakan pembedahan. Untuk makluman semua, ubat bius hanya menghilangkan kesakitan. Anak anda masih boleh merasa zakar mereka disentuh dan dikhatankan.
Sebahagian kanak-kanak menganggap sentuhan gunting itu menyakitkan. Mereka akan menjerit kesakitan walaupun hakikatnya zakar mereka sudah kebas. Kanak-kanak sebegini akan diberikan ubat tidur atau ubat penenang. Pembedahan kecil ini kebiasaannya memakan masa antara 30 hingga 45 minit, bergantung kepada berlakunya komplikasi atau tidak.
Pemulihan
Selepas prosedur siap, zakar akan dibalut sedikit ketat bagi mengelakkan pendarahan dan mengurangkan bengkak. Anak anda akan dimasukkan ke tempat khas untuk memastikan tiada pendarahan selepas prosedur dan dibenarkan pulang selepas pendarahan dan kesakitan terkawal. Ubat penahan sakit (seperti paracetamol) dan antibiotik dibekalkan untuk lima hari berikutnya. Anak anda dinasihatkan agar mengelakkan pergerakan cergas dalam jangkamasa 24 jam selepas berkhatan.
Selepas prosedur, zakar anak anda akan membesar dan lebam. Jangan risau, keadaan ini adalah normal. Ia akan beransur sembuh dalam satu atau dua minggu. Peringatan! Ibu bapa diarahkan membawa anak mereka ke hospital dengan segera jika berlakunya pendarahan atau zakar membengkak luar biasa. Doktor akan membuat pemeriksaan dan jika perlu zakar anak anda akan dibius sekali lagi bagi membolehkan doktor mencari punca pendarahan dan menghentikannya.
Penggunaan krim berubat untuk mencegah jangkitan kuman tidak digalakkan kerana bahan ini kebanyakannya menghakis pertumbuhan tisu baru dan ini melambatkan proses penyembuhan.
Cara mudah untuk mengelakkan jangkitan ialah dengan merendamkan zakar anak anda ke dalam air suam yang sudah dimasak dan diisi satu sudu garam selama 10 hingga 15 minit berulangkali setiap hari sehingga luka betul-betul sembuh.
Sakit selepas berkhatan adalah fenomena yang normal. Kadar kesakitan adalah subjektif bergantung kepada persepsi kanak-kanak tersebut. Sebahagian daripada mereka tidak merasa sakit tetapi sebahagian pula mungkin melolong kesakitan. Jika ubat penahan sakit diperlukan, sila ikut nasihat doktor. Berlebihan dos atau kekerapan mengambil ubat tanpa panduan doktor boleh membahayakan nyawa anak anda. Sebagai contoh, berlebihan mengambil dos paracetamol mengakibatkan kerosakan hati dan kes sebegini telah beberapa kali berlaku di negara kita. Berjumpalah dengan doktor jika kesakitan tidak terkawal dengan dos ubat yang diberikan.
Jangan risau berkenaan benang jahitan pada luka zakar anak anda. Ia akan diserap dalam jangkamasa dua minggu. Jika luka telah sembuh dan benang masih wujud, dapatkan khidmat doktor untuk membuangnya. Membiarkan benang terlalu lama mengakibatkan wujudnya lubang-lubang kecil pada kulit zakar. Ia menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan semasa persetubuhan apabila mereka dewasa dan berkahwin kelak.
Kesimpulannya, berkhatan adalah pembedahan kecil yang amat digalakkan kerana terdapat pelbagai kebaikan yang telah dibuktikan oleh kajian saintifik. Persediaan fizikal dan minda amat penting kepada anak anda agar prosedur yang dijalankan selamat dan anak anda akan sembuh dengan cepat. Nasihat saya, jika terdapat sebarang masalah selepas berkhatan, segera dapatkan nasihat doktor agar ianya tidak melarat. Wallahualam.
sumber daripada utusan malaysia
Subscribe to:
Posts (Atom)

